Pereka fesyen kelahiran Indonesia, Evita Mairesse, hari ini mengumumkan pembukaan butik persendirian pertamanya di Heritage House, Kuala Lumpur. Butik eksklusif ini beroperasi melalui janji temu, menjadi satu lagi simbol pencapaian penting dalam perjalanan lima tahun Evita membina jenamanya yang kini diiktiraf di Malaysia dan rantau Asia. Rekaan beliau telah digayakan oleh selebriti terkenal seperti Whulandary, Aishah Sinclair, Ruhainies, serta wakil Malaysia ke pertandingan ratu cantik antarabangsa termasuk Miss Universe, Miss World, Miss Grand dan Miss Charm.
Evita kini dikenali dalam dunia ratu cantik melalui rekaan busana pentas yang anggun dan penuh glamor. Dedikasi dan kreativiti Evita telah melayakkan beliau digelar Dressmaker to the Beauty Queens, sebagai pengiktirafan terhadap kehalusan perincian dan rekaan busana yang menggabungkan keanggunan, keyakinan dan unsur budaya.
Majlis pelancaran yang penuh classy ini disertai ratu cantik, selebriti dan pempengaruh, ramai di antaranya mengenakan rekaan Evita Mairesse. Antara tetamu yang hadir termasuk Eshwin Kaur, Miss Supranational Malaysia 2025, pelakon Natasya Mahyan, model Sharwita, penyanyi Syada Amzah, serta personaliti media Sunshine Kelly dan pengacara televisyen Fiera Afendi.
Acara ini dihias dengan palet hitam dan putih, identiti signature Evita, serta instalasi bunga di segenap ruang butik yang mencerminkan motif floral berstruktur yang sering digunakan dalam rekaan beliau. Pelancaran ini turut memberi peluang kepada tetamu menghargai kehalusan dan perincian setiap helaian busana couture rekaan Evita. Beberapa busana pertandingan yang pernah digayakan di pentas antarabangsa turut dipamerkan, menonjolkan seni dan ketelitian Evita.
“Pembukaan butik ini adalah detik istimewa bagi saya. Saya mahu ia menjadi ruang di mana wanita merasa dihargai, mendapat ilham dan di mana setiap rekaan menjadi sebahagian daripada kenangan berharga mereka. Ia juga langkah untuk memperkukuh hubungan dengan pelanggan sambil mengembangkan jenama saya ini dengan cara yang lebih organik dan telus”, jelas Evita.
Butik baharu di Heritage House ini bukan sahaja bakal menjadi pusat couture, tetapi juga ruang kreatif untuk prebiu eksklusif, sesi penggayaan dan pertunjukan fesyen. Ia memberi peluang kepada pelanggan memahami visi kreatif Evita dan seni di sebalik setiap helaian rekaannya.
Butik ini menawarkan suasana eksklusif untuk konsultasi tempahan couture, gaun perkahwinan dan gaun karpet merah. Evita Mairesse juga mempunyai satu lagi outlet di Fahrenheit Bukit Bintang yang menampilkan koleksi ready-to-wear termasuk busana tradisional dari label keduanya, Mirnasari.



Comments
Post a Comment