Selepas sekian lama menyepi dari pentas utama, kumpulan rap legenda, 4U2C, mengumumkan bakal mengadakan konsert eksklusif yang akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor pada 15 September depan.
Hampir tiga dekad tidak membuat persembahan di pentas besar, konsert yang diberi nama WE 4U2C adalah platform terbaik buat kumpulan ini kembali membuat 'comeback' bagi mengubati kerinduan peminat.
Kumpulan yang pernah mencipta fenomena dalam dunia hip-hop Malaysia pada tahun 90-an dahulu kini kembali dengan tenaga baharu sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan keunikan persembahan mereka secara langsung.
Mengangkat tema Bringin’ Back Da 90’s Flava, konsert ini bakal menggamit memori indah gaya dekad 90-an sewaktu nama 4U2C sedang meningkat naik.
Menurut anggota kumpulan 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, konsert yang dianjurkan kali ini tercetus hasil daripada idea isterinya, Datin Emylia Rosnaida dan menganggap tawaran daripada pihak Juss Event Sdn. Bhd. tiba tepat pada masanya.
Malah AC serta ahli kumpulan lain berjanji akan melakukan persembahan yang terbaik demi peminat mereka yang hadir pada malam konsert itu nanti.
“Konsert ini sudah menjadi salah satu impian saya dari dulu lagi, idea tercetus oleh isteri saya sendiri dan kemudian pihak Juss Event menawarkan tawaran untuk kumpulan 4U2C adakan konsert kami sendiri.
“Bagi saya itu macam impian jadi kenyataan, saya bersyukur sangat peluang ini datang pada masa yang tepat.
“Saya dan ahli kumpulan lain janji akan memberikan persembahan yang terbaik buat mereka yang hadir pada malam konsert itu nanti,” katanya.
Bukan mahu mencipta sejarah, sebaliknya objektif kumpulan ini adalah untuk menjadi trendsetter buat penyanyi mahupun kumpulan muzik lain.
Jelas AC, Malaysia mempunyai ramai penyanyi berbakat dan berkualiti, jadi konsert 4U2C ini akan menjadi momen untuk membuktikan perkara tersebut.
“Kami bukan nak cipta sejarah baharu, sebaliknya objektif kami adalah untuk jadi trendsetter dengan kembalikan sejarah dahulu.Inilah peluang untuk kami comeback, bukan untuk terus berada dalam pasaran cuma nak tunjuk yang kami boleh jadi trendsetter.
“Kumpulan 4U2C adalah kumpulan pertama yang tampil berbeza dengan menyanyi sambil menari, jadi untuk konsert kali ini juga kami akan lakukan perkara sama.
“Kita nak tunjuk dalam Malaysia ini sebenarnya memang ada artis yang berkualiti dan bukan sekadar menyanyi semata-mata namun boleh menghiburkan,” jelasnya.
Sementara itu, AC memberitahu kumpulan 4U2C juga akan melancarkan tiga buah single baharu untuk tahun ini.
Malah, AC berkata, lagu-lagu yang dikeluarkan akan menampilkan sisi baharu kumpulan itu yang seiring dengan peredaran zaman.
“Memang kita akan lancarkan tiga lagu baharu iaitu satu genre balada manakala lagi dua lagu yang rancak mengikut peredaran muzik masa kini.
“Kami mahu tunjuk sisi baharu kami buat pendengar zaman sekarang. Lagu ini juga saya harapkan boleh dinyanyikan bersama-sama peminat sewaktu 4U2C buat persembahan nanti,” ujarnya.
Bukan sekadar sebuah persembahan muzik, konsert We 4U2C ini juga dilihat sebagai satu penghargaan kepada legasi yang ditinggalkan mereka dalam landskap muzik di Malaysia.
Selain AC, 4U2C mempunyai enam ahli lain iaitu Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie danAzam.
Dengan gubahan yang lebih segar, visual moden dan penceritaan perjalanan seni mereka , konsert ini dijangka menjadi satu lagi fenomena yang bakal tercipta.
Sementara itu, komposer terkenal iaitu Aubrey Suwito bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik bagi konsert WE 4U2C dengan dibantu barisan pemuzik profesional dan berpengalaman dalam industri.
Aubrey memulakan perjalanan muziknya pada usia 6 tahun dan telah banyak bekerjasama dengan ramai artis ternama, hasilnya dia berjaya meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam industri muzik.
Konsert WE 4U2C yang dianjurkan oleh Juss Event Sdn. Bhd. ini mendapat kepercayaan serta tajaan daripada syarikat Millennium Group.
Manakala syarikat Giant Malaysia merupakan rakan kongsi bagi pengaktifan runcit serta Uncle Jack sebagai rakan rasmi bagi makanan dan minuman.
Selain itu, konsert ini turut menerima sokongan daripada stesen radio Era, Sinar, Gegar dan Mix sebagai rakan radio rasmi, manakala Astro Gempak sebagai rakan kongsi media digital rasmi bagi membantu mempromosikan acara ini kepada khalayak.
Harga tiket WE 4U2C ini bermula daripada RM155 (Berpisah Jangan), RM355 (Kembalilah Fiona), RM455 (Video Games), RM505 (Kami Rappers) dan RM555 (Fiona) bagi tingkat bawah.
Manakala harga tiket bagi tingkat atas pula, RM255 (Kenangan Cinta & Persahabatan), RM355 (I Miss U), RM405 (Dusta) dan RM505 (Dynamite)
Tiket tersebut akan mula dijual pada 30 Jun ini, melalui platform Ticket Empire dan Fantopia.
Peminat digalakkan untuk mendapatkan tiket awal kerana permintaan konsert ini dijangka mendapat sambutan yang sangat tinggi.
Malah selain pembayaran melalui perbankan dalam talian, peminat juga boleh membeli tiket dengan kaedah ‘beli dahulu bayar kemudian’, menerusi Atome, PayLater by Grab dan Shopee Pay Later.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Juss , manakala bagi perkembangan semasa mengenai konsert boleh lawati media sosial Juss.Events di aplikasi Instagram, Facebook dan TikTok.
Manakala untuk perkembangan bagi kumpulan 4U2C boleh lawati media sosial kumpulan ini di Instagram dan TikTok.
Comments
Post a Comment